• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

DUNGUN, 19 Februari - Kesedaran serta pendidikan tentang menutup aurat atau berhijab sewajarnya diteruskan dari semasa ke semasa dan tidak berhenti pada suatu masa sahaja. 

Ketua Pertubuhan Nisa' Malaysia daerah Dungun, Mahira Shahida Harun, berkata, wanita adalah tunjang sesebuah negara, manakala di dalam sebuah institusi kekeluargaan, wanita merupakan aset utama sesebuah keluarga.

"Andai ingin melihat keluarga itu solehah, maka lihatlah pada ibunya. Justeru itu, saya kira gelombang ini sangat bertepatan dengan objektif yang diinginkan oleh pihak penganjur, mendidik wali supaya lebih cakna dan titik beratkan lagi hal menutup aurat dalam kalangan isteri dan anak-anak perempuan," katanya. 

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas Gelombang Hari Hijab Terengganu 2024, Peringkat Daerah Dungun yang diadakan di Dewan  Arena Merdeka di sini, baru - baru ini. 

Mahira turut bersyukur dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga Dungun dan sekitarnya, dianggarkan seramai 150 orang yang hadir memeriahkan program tahunan itu. 

Beliau turut melahirkan harapan agar segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak NGO NISA’ bersama dengan kerajaan negeri mendapat nilai tambah dan dapat memberi kesedaran kepada wanita-wanita sekitar kawasan Dungun terutamanya, dalam perjalanan untuk menjadi lebih baik.

"Saya sangat optimis, seandainya kita terus menerus berganding bahu dalam memberi kesedaran kepada wanita-wanita Islam di Terengganu ini, insya-Allah suatu hari nanti wanita-wanita di Terengganu khususnya akan lebih terdidik dan faham akan tuntutan yang Islam anjurkan ini. 

"Semoga ada kesempatan lagi untuk berjumpa di lain waktu, hasrat besar kami moga kita dapat berjumpa di syurga firdaus. Ameen ya rabbal ‘alamin," ujarnya.


Tag: