• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Home Manager' Terima Permintaan Dari Luar Negara

KUALA TERENGGANU, 8 November – Pelaksanaan program 'Home Manager' berjaya mencuri tumpuan ramai apabila mendapat permintaan yang menggalakkan termasuk daripada luar negara.

Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd Fauzy Abdul Ghani berkata, statistik penyertaan ahli program Kakitangan Pengurus Kediaman (Home Manager) mencatatkan jumlah penglibatan memberangsangkan iaitu seramai 222 orang setakat Oktober 2020.

Katanya, jumlah tersebut juga mengatasi bilangan pekerja asing (pembantu rumah) iaitu 35 orang manakala bilangan ‘Home Manager’ seramai 231 orang pada tahun 2019, sekali gus membantu golongan miskin, belia-beliawanis dan ibu tunggal dalam meningkatkan taraf hidup juga pendapatan keluarga.

“Permintaan untuk perkhidmatan ‘Home Manager’ melalui kiriman e-mel daripada peminta warga Malaysia yang menetap di luar negara.

“Kita menerima panggilan daripada Dubai dan Brunei untuk mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah, sesuai kerana orang Malaysia yang bekerja di sana memerlukan kepakaran dan tenaga kerja yang memahami budaya sama.

“Walau bagaimanapun, pihak Yayasan masih tidak bersedia lagi dalam menunaikan permintaan tersebut kerana kita hanya memfokuskan di dalam Terengganu sahaja buat masa sekarang,” katanya ketika ditemubual selepas Program Bulan Dakwah 2020 di Dewan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu, Nasrul Hadi Saidin.

Mengulas mengenai Program Bulan Dakwah 2020, Zuraida berkata, inisiatif tersebut wajar diteruskan dan diperkembangkan lagi menerusi pelbagai peringkat supaya masyarakat dapat didekatkan dengan ilmu agama khususnya kepada kaum wanita.

“Saya berterima kasih kepada pihak YADIM atas penganjuran ini dengan kerjasama kerajaan negeri yang melibatkan kakitangan ‘Home Manager’ pada hari ini.

“Ini penting kerana ilmu agama berperanan sebagai banteng kepada kaum hawa. Oleh itu, program seperti ini memberi ilmu kepada semua khususnya kepada supaya wanita Terengganu terus dimartabatkan,” ujarnya.