• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hubungan Terengganu - Sulawesi Selatan Terus Kukuh


Hubungan dua hala antara Kerajaan Sulawesi Selatan dan negeri Terengganu harus terus diperkukuhkan dengan penglibatan golongan muda dalam usaha menjadikan kedua-dua negara setaraf negara-negara maju.

Gabenor Wilayah Sulawesi Selatan, Dr H. Syahrul Yasin Limpo berkata mereka boleh mengambil peluang menjalinkan kerjasama erat menerusi pelbagai bidang memandangkan persamaan yang banyak antara kedua-dua negara seperti adat budaya dan hasil bumi.

"Kita mempunyai karakter yang sama kerana kita adalah serumpun. Kita juga mempunyai minyak, gas dan ikan yang banyak di lautan.

"Jadi anak-anak muda kita harus bersatu dan bersama bagi merencana masa depan yang lebih baik daripada generasi yang terdahulu supaya nanti yang hebat bukan lagi Jepun, Inggeris atau Amerika tetapi kita juga akan kuat jika terus bersatu," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Jabatan Gabenor Wilayah Sulawesi Selatan.

Shahrul sebelum itu menerima kunjungan delegasi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, Terengganu yang diketuai Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif dan 15 peserta Kembara Terengganu De Latimojong.


Peserta Kembara Terengganu De Latimojong yang diketuai Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman pada 4 Oktober berjaya menamatkan pendakian ke puncak tertinggi di wilayah itu, puncak Rante Mario, Gunung Latimojong setinggi 3,748 meter.

Ketika ditanya sama ada program pendakian merupakan satu daripada usaha yang menyokong ke arah jalinan kerjasama itu, Shahrul berkata ia amat berpotensi sekaligus mampu melonjakkan sektor pelancongan kedua-dua negara.

"Saya sebagai gabenor siap memfasilitasi acara itu dan jika kalian datang ke sini (untuk mendaki) jangan pernah merasa asing kerana kalian sudah menjadi sebahagian dari masyarakat di sini," katanya.

Tag: