lightning-solid
Berita :
i-SUTRA Jadi Pangkalan Data Usahawan, TikTok Studio Berperasi Ogos
i-SUTRA Jadi Pangkalan Data Usahawan, TikTok Studio Berperasi Ogos
Mastura Jamal Din
14 jam yang lepas
78

KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan Terengganu merekodkan kemajuan dalam pelaksanaan beberapa inisiatif di bawah Bajet 2026 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keusahawanan, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, sehingga Mei lalu, sebahagian program yang dirancang telah dilaksanakan, manakala beberapa inisiatif lain masih dalam proses tindakan.

Menurutnya, antara pencapaian utama ialah pembangunan Integrated System Sahabat Usahawan Terengganu (i-SUTRA), yang kini berfungsi sebagai pangkalan data bersepadu usahawan negeri.

Jelasnya, sistem berkenaan merupakan penambahbaikan kepada Sistem Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) yang dinaik taraf kepada platform dalam talian sepenuhnya.

“i-SUTRA akan memudahkan penggubalan dasar dan pelaksanaan program yang lebih pantas serta tepat melalui integrasi data usahawan dan kemudahan yang disediakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir. Satiful Azmi Suhaili, pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas perkembangan industri halal, Ariffin berkata, Majlis Halal Terengganu telah ditubuhkan secara rasmi pada 28 Januari lalu sebagai platform penyelarasan pembangunan industri halal negeri.

Katanya, Pelan Pengukuhan Industri Halal Negeri Terengganu 2030 atau PAHAT pula akan menjadi hala tuju jangka panjang bagi memperkukuh ekosistem dan pembangunan industri berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Program Usahawan Belia Sejahtera kini sedang dilaksanakan dengan melibatkan 40 peserta daripada kalangan asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

Menurutnya, program itu menerima pembiayaan berjumlah RM420,480 daripada Maybank Islamic bagi membantu peserta membangunkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

Tambahnya, Yayasan Pembangunan Usahawan turut mengadakan perbincangan dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad bagi melaksanakan Program Usahawan TEKAD Terengganu.

Jelasnya, program berkenaan dijangka melibatkan 40 usahawan daripada golongan B40 dan asnaf, manakala satu perjanjian kerahsiaan atau Non-Disclosure Agreement telah dimeterai antara pihak berkaitan.

Dalam usaha memperluaskan pendigitalan perniagaan, Ariffin berkata, TikTok Studio YPU kini dalam fasa penyediaan dan dijangka mula beroperasi pada Julai ini.

Katanya, kemudahan itu akan membantu usahawan tempatan mempromosikan serta memasarkan produk mereka melalui platform digital dan e-dagang.

Beliau berkata, YPU juga telah melaksanakan dua siri latihan pendigitalan perniagaan bersama TikTok dan Shopee.

Menurutnya, beberapa lagi siri latihan akan diteruskan sepanjang tahun ini bagi meningkatkan keupayaan usahawan menggunakan platform digital untuk memperluas pasaran.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, syarat pendaftaran Program Sijil Anak Terengganu turut ditambah baik bagi meningkatkan penyertaan kontraktor dan vendor PETRONAS yang berdaftar.

Katanya, penambahbaikan itu diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada syarikat dan usahawan tempatan untuk menyertai peluang perniagaan yang tersedia.

Tambahnya, setakat ini, lima usahawan telah dipilih untuk menyertai Kempen Sokong Perniagaan dan Produk Orang Terengganu atau SAPOT.

Jelasnya, kempen itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pempengaruh digital bagi memperluaskan promosi dan pemasaran produk keluaran usahawan Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan