• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Ibu Tunggal Minta Dihentikan Sumbangan



Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 18 Februari- Mardinah Dabe Martin, 35, ibu tunggal mualaf yang viral baru-baru ini meminta orang ramai menghentikan sumbangan kepadanya sekeluarga.

Wanita berasal dari Sabah yang tinggal di Taman Rakyat Jaya, bersama empat anak termasuk dua daripadanya orang kelainan upaya (OKU) 'hyper active' itu mengharapkan orang ramai agar tidak lagi menyalurkan sebarang bentuk bantuan kepadanya kerana apa yang diterimanya sebelum ini telah  mencukupi.

"Saya meminta agar  sumbangan kepada saya sekeluarga dihentikan kerana sudah terlalu banyak," katanya dalam keadaan terharu kepada wakil Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di rumahnya di Taman Rakyat Jaya, malam tadi.


Mardinah berkata, dia berasa sangat bersyukur dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada penyumbang  kerana keprihatinan mereka di atas kesusahannya sekeluarga.

"Terima kasih juga kepada penduduk sekitar yang sentiasa mengambil berat tentang keluarga saya. Hanya Allah yang dapat membalas kebaikan kalian semua, "ujarnya.

Mardinah yang memeluk Islam sejak 13 tahun lalu mengikut bekas suaminya yang berasal dari Dungun menetap di situ sebelum bercerai pada Oktober lalu.

Dia tidak mempunyai pendapatan kerana menjaga dua orang anak OKU yang berusia enam dan tujuh tahun.

Tag: