KUALA NERUS, 5 April – Penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Terengganu menjadi titik penting dalam usaha membuka lembaran baharu ke arah penyatuan umat Islam di peringkat global.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perpaduan umat Islam tidak boleh dibina atas dasar ideologi ciptaan manusia semata-mata, sebaliknya mesti berteraskan iman dan petunjuk wahyu yang menjadi asas kekuatan sebenar umat sejak zaman Rasulullah SAW.
“Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW berjaya menyatukan masyarakat Arab yang sebelum itu berpecah-belah dan saling bermusuhan, seterusnya membina sebuah tamadun yang kuat dan berpengaruh.
“Perpaduan ini bermula dengan kekuatan iman yang menyatukan hati-hati manusia sehingga mereka menjadi seperti satu jasad. Inilah asas yang perlu kita kembalikan pada hari ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup program berkenaan di sini semalam.

Abdul Hadi berkata, kegagalan pelbagai ideologi dunia seperti komunisme, sosialisme dan kapitalisme liberal dalam menyatukan manusia membuktikan bahawa hanya Islam mampu menjadi penyelesaian kepada krisis kemanusiaan sejagat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa perbezaan mazhab dan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perpaduan, sebaliknya perlu diraikan dengan semangat toleransi sebagaimana ditunjukkan oleh para ulama terdahulu.
“Ikhtilaf dalam perkara cabang tidak boleh memecah-belahkan umat. Kita wajib bersatu dalam perkara asas dan saling menghormati dalam perkara yang berbeza.
“Umat Islam di rantau ini perlu bangkit daripada kelemahan yang berpunca daripada kecintaan melampau terhadap dunia dan kembali menghayati ajaran Islam secara menyeluruh.
“Ijtimak ini menjadi medan penting untuk menyedarkan umat bahawa kekuatan hanya akan datang apabila kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar,” ujarnya.
Untuk makluman, program yang menghimpunkan ulama, pemimpin dan peserta dari pelbagai negara itu dilihat berjaya memperkukuh jaringan kerjasama serta menyemarakkan semangat perpaduan ummah di peringkat antarabangsa.

Tag :