Berita :
UMT Peruntuk RM650,343 Biasiswa, Sasar Tarik Pelajar Antarabangsa
UMT Peruntuk RM650,343 Biasiswa, Sasar Tarik Pelajar Antarabangsa
Mastura Jamal Din
7 jam yang lepas
143

KUALA NERUS, 5 April - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperuntukkan dana biasiswa berjumlah RM650,343 kepada 60 pelajar pascasiswazah menerusi inisiatif UMT Vice Chancellor Scholarship (UMTVC) bagi memperkukuh kecemerlangan akademik serta meningkatkan daya saing universiti itu di peringkat global.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihak universiti komited memastikan peruntukan tersebut dimanfaatkan secara strategik, termasuk bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa berkualiti tinggi.

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM172,260 telah digunakan, manakala baki RM478,083 akan difokuskan khusus kepada pelajar antarabangsa dalam bidang Sains dan Sains Sosial.

Katanya, langkah itu selaras dengan aspirasi UMT untuk memperkasakan kecemerlangan akademik di samping memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang lebih kompetitif dan berdaya saing.

“Bagi memaksimumkan inisiatif ini, UMT memberi penekanan terhadap pengagihan yang bersasar agar dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa berkualiti tinggi sekali gus memperkukuh ekosistem akademik universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berkaitan biasiswa berkenaan di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, penerima biasiswa, Nur Aleya Farisha Norihan, 24, yang mengikuti pengajian Sarjana Sains (Kimia Bahan) berkata, bantuan kewangan tersebut menjadi pemangkin penting dalam memastikan kelangsungan pengajiannya.

Katanya, biasiswa itu bukan sahaja membantu dari segi pengurusan kewangan, malah memberi suntikan motivasi untuk terus cemerlang dalam bidang penyelidikan dan akademik.

“Bantuan kewangan seperti ini sangat membantu saya dari segi pengurusan perbelanjaan dan juga motivasi. Ia membolehkan saya fokus sepenuhnya kepada penyelidikan dan projek akademik tanpa terlalu memikirkan kos pengajian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, UMT turut menawarkan program pengajian fleksibel yang disesuaikan mengikut keperluan pelajar, khususnya mereka yang berdepan kekangan tertentu atau isu peribadi, bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan tanpa halangan.

Selain itu, universiti berkenaan juga mempergiat pelaksanaan Open Distance Learning (ODL) sebagai alternatif pembelajaran yang lebih anjal dan mudah diakses, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pelajar tempatan serta antarabangsa untuk melanjutkan pengajian.

Pada masa sama, UMT kini sedang meneliti pelaksanaan konsep ‘Stackable Degree’ bagi memperluas penawaran program akademik secara lebih fleksibel dan berperingkat.

Mohd Zamri berkata, universiti itu menyasarkan kemasukan seramai 1,500 pelajar pascasiswazah menjelang tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kapasiti penyelidikan dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Tambah beliau, semua inisiatif berkenaan dilaksanakan sejajar dengan visi jangka panjang UMT untuk muncul sebagai antara 50 universiti terbaik di Asia serta berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan