• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Imtiaz Terengganu Sasar Saingi Pelajar Antarabangsa

KUALA NERUS, 25 September - Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu menyimpan hasrat dan sasaran yang besar untuk bersaing dan duduk setaraf dengan pelajar antarabangsa dalam bidang akademik.

Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham percaya dengan kualiti para pelajar Imtiaz dan yakin bakal setaraf dengan mahasiswa antarabangsa dalam beberapa tahun lagi.

“Saya agak terkejut dan kagum dengan kemampuan dan kebolehan pelajar tingkatan 1, jika 6 bulan perkembangan seumpama ini, kita yakin dalam masa 4 tahun setengah lagi, mampu bersaing dengan mereka di peringkat antarabangsa, itulah objektif sebenar penubuhan sejak 20 tahun lepas.

“Kita nak para pelajar di sini bukan hanya mampu menghafal Al-Quran, bahkan mahu mereka cemerlang dalam bidang akademik, supaya dapat bersaing dan duduk semeja dengan pelajar dari Universiti hebat dunia seperti Oxford, Cambridge Universiti atau setarafnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penutupan Program Khas Asasi Ulul Albab, Sekolah-sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu tahun 2024, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam

Tambah Mohd Azmi, beliau yakin dengan kemampuan para guru untuk melatih dan mendidik pelajar dengan sistem ciptaan sendiri supaya menepati kejayaan yang disasarkan.

“Yakin dengan modul sendiri yang mampu memperkuatkan pelajar, permulaan 6 bulan pertama ini, kita berikan asas bagaimana untuk menjadi pelajar cemerlang.

“Semasa mula penubuhan dahulu, banyak sekolah luar datang untuk belajar dari Imtiaz, sekarang ada antara mereka mampu bersaing dan melebihi kita, itu tidak menjadi masalah, harapan Imtiaz supaya tidak ketinggalan dan sentiasa maju ke hadapan," katanya.

“Jika perlu adakan lawatan untuk tujuan pembelajaran dan tambah nilai pada Imtiaz, perlulah pergi ke Universiti yang lebih hebat supaya boleh belajar dari mereka. Jika nak jadi cerdik, mesti berkawan dengan orang cerdik, pemilihan kawan sangat penting untuk mencapai tujuan kejayaan.

“Sama-samalah kita berganding bahu supaya melahirkan teknokrat yang mampu menguasai pengetahuan arus perdana berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah untuk kesejahteraan Negeri Terengganu di masa akan datang," katanya.