lightning-solid
Berita :
Masalah Banjir Kampung Anak Musang Bakal Dinoktahkan
Masalah Banjir Kampung Anak Musang Bakal Dinoktahkan
Hidayah Azlin
7 jam yang lepas
121

SETIU, 9 Julai – Kebimbangan penduduk Kampung Anak Musang di sini yang sering berdepan masalah banjir kilat setiap kali musim tengkujuh tiba, dijangka bakal dinoktahkan tidak lama lagi susulan pelaksanaan projek naik taraf parit asal di kawasan berkenaan.

Kawasan tersebut sebelum ini sering dikategorikan sebagai antara lokasi yang paling mudah dinaiki air berikutan keadaan parit sedia ada yang kurang sempurna untuk menampung aliran limpahan air hujan lebat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu berkenaan dengan menggantikan parit asal tersebut kepada struktur yang lebih kukuh dan sistematik.

Menurut beliau, projek pembinaan sistem longkang konkrit jenis 'U' yang baharu kini sedang rancak dilaksanakan di kawasan kritikal kampung berkenaan.

"Kampung Anak Musang Jabi antara tempat yang mudah dinaiki air di musim hujan. Antara puncanya ialah sistem saliran yang kurang sempurna.

"Insya-Allah, situasi tersebut bakal berbeza pada hari-hari mendatang dengan adanya pembinaan longkang U yang baharu di kawasan ini," katanya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Dr. Azman menjelaskan bahawa naik taraf daripada parit asal kepada struktur longkang 'U' yang baharu ini akan memastikan aliran air mengalir dengan lebih lancar tanpa tersekat, sekali gus meminimalkan risiko limpahan air ke kawasan penempatan penduduk.

Beliau turut berharap agar projek infrastruktur ini dapat disiapkan dengan lancar demi keselesaan dan keselamatan warga Kampung Anak Musang menjelang musim tengkujuh akan datang.


Tag :

Artikel Berkaitan