• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Ini Hanya Tanda Koma, Bukan Titik Noktah' - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU, 18 Februari - "Kalau ada sekelumit atau sedikit kelemahan dalam apa-apa jua subjek ataupun keputusan peperiksaan, jangan jadikan itu sebagai suatu titik noktah, sebalikanya ia koma sahaja.

"Kita berdiri dan akan bangkit kembali. Kalau orang main tinju, tak salah kena tumbuk, itu normal, yang salah bila jatuh tak bangun-bangun.

"Walaupun kamu jatuh berkali-kali, kamu tetap perlu berdiri, percayakan diri kamu melebihi segala-galanya," ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi laman facebooknya hari ini.

Dalam persiapan menghadapi ujian tersebut, Menteri Besar Terengganu menyifatkan bidang menuntut ilmu dan menghadapi peperiksaan seperti SPM sebagai satu perjalanan tidak boleh dijangka.

"Walaupun dalam 10 minit lagi, kita tidak akan tahu masa depan kita, banyak kejutan bakal berlaku.

"Contohnya seperti membawa kereta ke Kuala Lumpur, seperti di lebuh raya, pelbagai halangan kita akan hadapi tanpa disangka seperti lubang atau haiwan melintas. Ada masa kita atau ayah masing-masing 'drive' elok-elok, tiba-tiba ada kereta keluar, kita tidak akan tahu.

"Maknanya kita perlu bersedia dan waspada sepanjang masa, sama seperti anak-anak yang bakal menghadapi SPM tahun ini," katanya.

Beliau turut menasihati para pelajar supaya menjadi lebih tegas dan menguatkan azam serta menyesuaikan diri kepada cabaran akan datang.

"Percaya bahawa ekspidisi kehidupan akan datang juga tidak akan ceria dan menyenangkan sepanjang masa. Kehidupan dan perancangan tidak akan selalu terjadi seperti yang kita inginkan.

"Dah fikir macam-macam, buat macam-macam, kadangkala tak dapat apa yang kita nak kerana itu adalah kehidupan dan itu sifat manusia.

"Bukan hitam atau putih semata-mata tetapi penuh dengan warna-warnil, tetapi peperiksaan ini tidak bukan penghujungnya, ia hanyala satu koma dan bukan titik noktah," katanya lagi.

Berdasarkan rekod daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), seramai 18,743 pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM 2020 di Terengganu, merangkumi 837 calon persendirian, pada minggu hadapan. - Gambar fail - Hishamuddin Abdullah.