• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Institusi Hisbah Boleh Dipertimbangkan Untuk Diwujudkan Semula

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 4 September – Kerajaan boleh mempertimbang untuk mewujudkan semula institusi hisbah dalam suatu mekanisma yang lebih sesuai di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, jawatankuasa itu mampu berperanan bagi menyemak dan mengimbang pentadbiran kerajaan negeri untuk jangka masa panjang.

“Kita ada satu istilah pada zaman Rasulullah SAW yang disebut sebagai hisbah. Jadi mungkin boleh dilihat dari segi jangka panjang, sistem ini boleh diaturkan di negeri Terengganu. 

“Ia tak semestinya sama dengan institusi hisbah yang pernah ditubuhkan sewaktu kerajaan PAS Terengganu berkuasa pada tahun 1999 - 2004. Tak semestinya begitu, nak letakkan di mana itu terpulang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai respons pertanyaan daripada moderator dalam satu program Wacana Pembaharuan Institut Parlimen dan DUN di Malaysia anjuran oleh Institut Darul Naim dan Reform, secara atas talian, baru-baru ini

Menurutnya, perkara tersebut boleh dibincangkan di peringkat atasan untuk menjadikan perjalanan kerajaan lebih bertanggungjawab dan efisien.

“Jadi jawatankuasa hisbah ini diletakkan di mana pun termasuklah nak diletakkan di bawah badan legislatif DUN, boleh memainkan peranan untuk membantu kerajaan supaya menjadi lebih cekap dan bersih,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga berharap komposisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik selain daripada mewakili wanita dan bukan Islam boleh diperluaskan lagi dan ini akan melibatkan pindaan undang-undang tubuh negeri.

"Untuk jangka panjang kerajaan boleh mempertimbangkan pelantikan yang lebih luas, bukan sekadar mewakili wanita dan bukan Islam tetapi kelompok-kelompok tertentu yg mewakili pelbagai latar belakang dlm masyarakat supaya DUN berpotensi menambah kepakaran dan pandangan,” tambah Yahaya.

Beliau juga berharap dengan pertambahan penduduk dan pengundi di negeri ini kerusi DUN dan Parlimen perlu ditambah.

"Kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini tidak bertambah selepas 1984. Sudah sampai masanya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kajian mendalam untuk menambah bilangan kerusi di negeri ini.

"Memandangkan jumlah pengundi setiap kawasan pilihanraya samada DUN dan Parlimen terlalu besar dan tidak sepadan dengan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh seorang wakil rakyat," katanya lagi.