• 24 Okt 2024 | 21 Rabiul Akhir 1446

Islam Berdaulat Keadilan Ditegak

KUALA NERUS, 9 September- Umat Melayu Islam di Malaysia perlu yakin dan percaya selagi mana mereka berpegang teguh dengan ajaran Islam selagi itu akan berada di dalam kemuliaan serta akan tertegaknya keadilan untuk seluruh rakyat.

Pegawai agama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Abdul Rahman Mohd berkata jangan pernah merasa ragu mengenai keupayaan Islam memerintah kerana dipengaruhi oleh fahaman atau ideologi selain daripada Islam.

"Selagi Islam berdaulat didalam negara kita ini kita, yakinlah akan berlaku keadilan-keadilan serta tertegaknya kebaikan-kebaikan melalui Islam. 

"kita kena yakin dengan hukum hakam Islam, jangan sampai dipersoal samada Islam boleh memerintah ataupun tidak," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib, di Masjid Seberang Takir, semalam.

Katanya, orang-orang dahulu telah berjuang mempertahankan Islam sehingga telah sinonim dengan Bangsa Melayu.

"Padahal Islam ini bukan syarat bangsa Melayu, Cina pun boleh, India pun boleh. Tapi Alhamdulillah berkat perjuangan orang-orang lama berjuang apabila sebut Melayu itu Islam, lekat sehingga kini.

"Lipatan sejarah terjadi kepada bangsa yang meninggalkan ajaran Islam secara syumul didalam pemerintahan boleh menjadi panduan kepada bangsa Melayu di negara ini," ujarnya.

Justeru katanya, Islam perlu dipertahankan didalam pemerintahan negara kerana ianya sempurna mencakupi segala aspek politik, sosial, ekonomi serta membawa kepada kemajuan didalam pentadbiran negara.


Tag: