• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Isu Arak, Terengganu Teliti Keputusan Kerajaan Pusat

KUALA TERENGGANU, 4 Jun-  Kerajaan negeri sedia menimbang isu penjualan minuman keras termasuk cadangan membekukan lesen di Terengganu susulan peningkatan jumlah kemalangan membabitkan pemandu mabuk yang berlaku ketika ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun belum ada kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk di Terengganu, pihaknya tetap memandang serius perkara itu.

"Kita bersedia melihat isu berkenaan memandangkan ia sedang dikaji di peringkat pusat.

"Kita akan tengok dulu di peringkat kementerian, apa garis panduan diberikan dan langkah seterusnya akan diambil selepas itu.

"Segala keputusan bergantung kepada keputusan kementerian dan lihat suasana negeri sebab setiap negeri tidak sama," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial di  Perkarangan Tingkat U2, Wisma Darul Iman di sini semalam.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan semua permohonan baharu lesen minuman keras di ibu negara berkuat kuasa serta-merta.

Ia mendapat sokongan ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bukan Islam.
 


Tag: