• 23 Okt 2021 | 16 Rabiul Awal 1443

Jabatan Perikanan Terengganu Rekod 29 Kes

KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Sebanyak 29 kes pelbagai kesalahan telah dikesan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang dilakukan nelayan termasuk dua nelayan warga asing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, antara kesalahan dikesan ialah menggunakan peralatan menangkap ikan tidak dibenarkan, menceroboh Taman Laut, melanggar syarat lesen dan warga asing yang menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Sebanyak empat kompaun dan dua notis telah dikeluarkan keseluruhan bernilai RM5,900 dan kesemuanya telah dibayar oleh pesalah mengikut Akta Perikanan 1985. Selain itu, dua vesel asing juga telah dilucuthak oleh mahkamah dan 12 peralatan juga telah dirampas.

"Ingin kami tegaskan bahawa jabatan tidak pernah leka dan sentiasa menjalankan operasi walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan agar tiada mana-mana pihak melanggar peraturan berkaitan perikanan," katanya.

Sejak 1 Januari lepas, jabatan juga telah merampas sebanyak tiga pukat pari, sembilan bubu ikan dan dua bot yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1 juta melalui operasi yang dijalankan anggota penguat kuasa di seluruh perairan negeri.

Ruzaidi berkata, kesemua 29 kes yang dikesan itu tidak termasuk operasi yang diadakan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sepanjang tempoh tersebut.

Terbaharu, beliau berkata, tiga warga Rohingya telah ditahan anggota penguat kuasa Cawangan Taman Laut, Pengurusan dan Perlindungan Sumber (CTLPPS) Negeri Terengganu kerana menceroboh kawasan Taman Laut Pulau Tenggol di Dungun, pada Jumaat lepas.

"Hasil operasi itu, jabatan telah menyita dua pukat pari dan sebuah sampan manakala hasil ikan yang ditangkap telah dilelong mengikut seksyen 48 Akta Perikanan 1985.

"Ketiga-tiga warga Rohingya itu telah direman dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. 


Tag: