• 03 Ogos 2021 | 24 Zulhijah 1442

Jaga Warisan Berteraskan Islam Dalam Era Global

Oleh: Rohayati Ripin
 
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Para mahasiswa diingatkan agar berusaha memelihara dan menjaga warisan seni kebudayaan bangsa yang berteraskan agama Islam terutamanya dalam ledakan teknologi maklumat serta komunikasi di zaman era global pada masa kini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, apa yang dilakukan ini adalah sangat penting agar budaya, warisan dan seni dalam Islam mesti selari dengan zaman digital dan ia tidak hilang ditelan zaman.

“Sama-sama kita beri kefahaman kepada masyarakat bahawa warisan kebudayaan dan seni itu sangat bernilai terutamanya dalam menonjolkan identiti bangsa dan agama kita.

“Tak salah untuk bersaing dalam era globalisasi digital namun sejarah dan warisan budaya kita yang berteraskan islam jangan sesekali kita tinggalkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dan Husa Network SDN.Bhd di Laman Pusat Kesenian dan Warisan di UniSZA, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Pendaftar UniSZA, Ismail Musa, Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd, Ozarizan Mohd Nor, dan Pengarah Avantsky Sdn Bhd, Wan Akmal Othman.

Yahaya menambah, pelaksanaan Galeri Digital Sanggar Seni merupakan inisiatif yang baik kerana ia dapat mempamerkan kepelbagaian bentuk kesenian dan warisan yang wujud di negeri Terengganu serta bermanfaat sebagai rujukan untuk generasi akan datang.

Menurutnya lagi, galeri digital berkenaan turut mempamerkan koleksi foto bidikan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah iaitu koleksi hasil karya tradisional Terengganu yang mana baginda telah merakamkan peristiwa bersejarah pemerintahannya bagi mengekalkan tradisi.

“Saya yakin sekiranya usaha-usaha seumpama ini dilakukan oleh pelbagai pihak yang lain, kita akan dapat mengumpulkan satu warisan yang lebih kuat.

“Kerana warisan budaya ini merupakan budaya dan kesenian yang sangat penting, bukan sahaja untuk hari ini tetapi untuk generasi yang akan datang,” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap dengan pelancaran pusat itu semua pihak dapat sama-sama berganding bahu untuk menjadikan ia bergerak semakin jauh ke hadapan dan dapat membina kekuatan dengan mengumpulkan segala maklumat serta apa sahaja kesenian, kebudayaan terutama mempunyai nilai teras kepada agama Islam.

“Mudah-mudahan pusat kesenian di UniSZA ini akan menjadi institusi yang dibanggakan oleh semua pihak,” tambah Yahaya lagi.