Jasa Petugas Barisan Hadapan Dihargai

DUNGUN, 11 November- Bagi menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menghadapi wabak COVID-19, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman turut padang memberikan sumbangan kepada mereka.

Katanya, beliau akui sumbangan petugas barisan hadapan amat besar sama ada kepada negara dan masyarakat.

"Apabila dikuatkuasakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 November sudah tentu petugas barisan hadapan akan menjadi watak penting didalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19 justeru sangat wajar mereka dihargai oleh masyarakat.

"Saya juga turut menyantuni mereka yang bertugas menjaga Sekatan Jalan Raya (SJR) yang terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan RELA di Simpang Mek Bulu yang menghubungkan antara Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Hulu Paka.Saya dimaklumkan sekatan berkenaan diadakan selama 24 jam melibatkan tiga 'shift', dengan menempatkan enam petugas didalam satu-satu masa melibatkan PDRM dan Rela," ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Abadi, Zulkifli Yusof.

Dalam pada itu, Ghazali turut berharap agar masyarakat dapat mematuhi arahan PKPB yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

"Jangan ambil mudah serta perlu memandang serius akan usaha yang perlu dijayakan bersama ini bukan hanya petugas barisan hadapan sahaja bertanggungjawab malah kita juga perlu bersama-sama menangani dan berusaha memutuskan rantaian COVID-19 ini agar tidak berlaku penularan secara berterusan.

"Sama-samalah kita menjaga kita, dan teruskan berdoa agar wabak ini akan dilenyapkan oleh Allah SWT serta tahun 2021 akan membuka lebaran baru buat kita semua, bersamalah kita bergantung harap akan kekuasaan Allah yang memiliki segala kekuasaan meliputi langit dan bumi," ujar beliau.


Tag: