• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

JBPM Jangka Ambil Masa Lebih Lama Selesai Siasatan KBC

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid menyampaikan Anugerah Menteri (Terbaik Keseluruhan) kepada Muhammad Jazli Hafiz Jafar Jafari  pada Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2018 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai


Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan perlu mengambil tempoh masa lebih lama untuk menyelesaikan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran tiga tangki minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC), Kemaman baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Mohammad Hamdan Wahid berkata,  tragedi melibatkan kawasan yang luas dan  besar antara punca yang menyukarkan pihaknya mengesan bahan bukti bagi mengenal pasti puncanya.

"Kami masih lagi menganalisa punca yang mengambil sedikit masa sebelum kita boleh rumuskan 'finding' dan ia melibatkan siasatan yang rapi.

"Sedikit rumusan yang boleh dibuat, oleh sebab kebakaran ini cukup besar, ia menyukarkan kita mencari bukti-bukti tetapi kita percaya dengan keupayaan yang ada pada Bahagian Siasatan Jabatan Bomba akan mengenal pasti punca dan membuat rumusan laporan eksekutif tentangnya,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Marang, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan penuh kepada pihak terlibat termasuk tuntutan insurans sebaik sahaja penyiasatan selesai sepenuhnya.

Tambahnya, pihaknya juga tidak akan berkompromi jika terdapat unsur kecuaian dalam kes terbabit dan tindakan mengikut Akta 341, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 akan diambil.

Di majlis itu, seramai 201 pelatih menyertai latihan kebombaan selama empat bulan setengah di Akademi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai.

Kumpulan itu akan memulakan perkhidmatan di balai bomba sekitar di Kuala Lumpur dan Selangor bermula 31 Ogos ini.

Tag: