• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Desas-desus kembalinya Tcheche Kipre ke Terengganu FC seakan menghadirkan sedikit kemelut dalam skuad itu apabila hari ini penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah dalam ciapan di laman Twitternya menghantar status berbunyi  'Apabila kepercayaan dikhianati, kita boleh duduk di Rumah#kembali ke pasukan seterusnya'.

Ciapan dihantar penyerang tersebut sekitar jam dua petang hari ini mencetuskan tanda tanya, apakah Mintah sedang merajuk dengan seseorang, atau sebaliknya?

Jordan Mintah, bermain untuk Terengganu FC II dan telah menjaringkan 16 gol bagi pasukannya musim ini yang turut menobatkannya sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana bersama penyerang Johor DT II, Fernando Rodriguez.

Beliau turut membuktikan keupayaannya apabila membantu Terengganu FC dalam saingan Liga Super apabila menjaringkan enam gol dan dua bantuan gol.

Selain itu, Jordan turut meledak lima gol dalam aksi Piala Malaysia bagi 'skuad abang' setelah dipanggil mengimbangi prestasi David Da Silva yang merudum ketika itu.

Jordan dalam temu bualnya dalam portal My Metro pada November lalu, pernah menyuarakan hasrat berpindah pasukan sekiranya tidak diberi peluang beraksi di pentas utama saingan bola sepak Malaysia.

"Saya akui ramai peminat mahukan saya kekal beraksi di Terengganu, saya pun sudah gembira tinggal di sini dengan suasana dan para penyokongnya, seolah-seolah rumah kedua saya. 

"Saya pun memasang impian untuk beraksi dalam liga divisyen satu di sini musim depan, tapi jika saya tidak mendapat tempat dalam liga itu, tiada sebab untuk saya kekal beraksi di Terengganu," katanya.

 


Tag: