• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kak Mek Miliki Rumah Sendiri Selepas 10 Tahun

SETIU, 7 Januari - Keceriaan jelas terpancar pada wajah Kak Mek selepas memiliki kediaman sendiri melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang dinantikan sejak 10 tahun lalu.

Kak Mek atau Zaimah Mohd Nong, 51, dari Kampung Maras, Batu Rakit di sini terharu kerana berkat kesabaran untuk memiliki tempat berteduh terbabit berakhir.

“Saya sudah berputus asa memohon bantuan rumah daripada kerajaan kerana pada zaman pentadbiran sebelum ini, sudah beberapa kali saya memohon Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi gagal.

“Bagaimanapun, saya tabahkan hati untuk memohon Rumah PPTS pada pentadbiran kerajaan sekarang. Alhamdulillah, Allah murahkan rezeki saya apabila permohonan itu mendapat perhatian,” jelasnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPTS DUN Batu Rakit yang disempurnakan Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, baru-baru ini.

Kata Kak Mek, sebelum ini dia menyewa rumah yang bersambung dengan warung kopi di kampung berkenaan sejak 2010.

“Di sana lah tempat saya meneruskan kehidupan bersama suami, Abdul Nasir Mydin dan tujuh anak.

“Alhamdulillah, setelah berurusan dengan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pusat Khidmat Masyarakat setempat, permohonan saya telah mendapat perhatian sewajarnya daripada Pegawai Penyelaras (DUN) Batu Rakit.

“Insya-Allah, tahun ini dapatlah beraya di rumah sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Shafizi berkata, kerajaan negeri komited untuk melihat rakyat Terengganu memiliki kediaman sendiri.

Katanya, dalam memenuhi hasrat rakyat, sebanyak 155 buah rumah sudah dibaik pulih yang dibina secara berperingkat dalam tempoh dua tahun dan dijangkakan bertambah pada tahun ini.

“Ini komitmen kita dalam memastikan setiap rakyat dapat hidup dengan selesa,” tambah beliau.


Tag: