• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kakitangan WDI Zahirkan Sokongan Untuk TSG Di LTdL


Kakitangan Wisma Darul Iman (WDI) menyatakan sokongan penuh kepada  pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) yang akan mewakili negeri ini dalam perlumbaan basikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang dijadualkan berlangsung bermula 22 Februari sehingga 1 Mac ini.

Sokongan itu dizahirkan melalui pemuafakatan 10 kelab di WDI yang telah berjaya menghasilkan kain rentang sepanjang 101 meter dan menyasarkan dapat mencapai 1.5 kilometer sebelum perlumbaan tersebut bermula di perkarangan Wisma Darul Iman, hari ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin berkata, pihaknya turut mengalu-alukan jabatan, agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama merealisasikan hasrat itu sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada pasukan TSG.

Katanya, antara yang telah mengambil bahagian dalam membuat kain rentang bagi menaikkan lagi semangat pelumba negeri termasuk Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kolej Komuniti, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Persatuan Basikal Negeri Terengganu serta 84 buah sekolah terlibat.

“Ianya sebagai tanda sokongan rakyat Terengganu kepada pasukan TSG dan penghargaan kepada LTdL yang menjadikan Terengganu sebagai tuan rumah rasmi majlis pengenalan pasukan dan  peringkat satu dan kedua perlumbaansekali gus menyemarakkan lagi Visit Beautiful Terengganu,” katanya kepada Teganukita, hari ini.


Katanya, orang ramai dialu-alukan untuk bersama-sama turun padang bagi memegang cantuman kain rentang itu bermula dari Dataran Shah Bandar, yang merupakan antara laluan dalam perlumbaan kali ini, sebagai menyokong serta memeriahkan lagi LTdL di Terengganu.

Sebagaimana jadual asal, LTdL yang dijangka akan disertai 20 pasukan profesional seluruh negara itu melibatkan dua peringkat perlumbaan di negeri ini iaitu dari Kuala Berang ke Jertih dan Jertih ke Grik.

Tag: