Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
Kalimah Allah : PAS Syor Kerajaan Buat Rayuan
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - “Kita sudah membuat keputusan di peringkat parti supaya kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan kita juga hormati hak mahkamah dalam membuat keputusan.
"Apa yang penting pada kita adalah undang-undang tidak melihat soal sentimen, emosi dan kita tengok reaksi masyarakat Islam dalam isu ini sangat serius. Sebab itu, kita minta kerajaan buat rayuan supaya dapat semak kembali keputusan,” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian bagi mengulas keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian.
Katanya, PAS memohon kerajaan membuat rayuan semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.
Katanya, tindakan itu bukan bermaksud PAS tidak menghormati keputusan mahkamah sebaliknya ia hanya proses biasa selepas sesebuah keputusan mahkamah diputuskan.
Menurutnya, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam negara ini.
"Harapan kita perkara ini tidak perlu dijadikan isu yang boleh menimbulkan polemik. Peraturan mahkamah kita hormati tapi prosedur yang ada kita gunakan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.