• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kaunter Aduan Rakyat Disambut Baik

SETIU, 31 Mac - Program Kaunter Aduan Rakyat di Parlimen Setiu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat. Banyak aduan yang diterima berkaitan dengan kerosakan infrastruktur, bantuan agensi, permasalahan tanah, rumah dan lain-lain.

Ahli parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, setakat diadakan, program berkenaan menerima kehadiran cukup memberangsangkan di kalangan penduduk setempat. 

“Alhamdullilah, saya melihat setakat perlaksanaan program Kaunter Aduan Rakyat sejak tiga tahun lepas, kita menerima sambutan yang memberangsangkan.

“Insya-Allah semua aduan dari orang kampung akan diambil perhatian. Kita telah menerima pelbagai aduan hasil daripada program ini.

“Ada aduan yang diterima dapat diselesaikan segera dan ada juga yang terpaksa dirujuk kepada agensi berkaitan dan yang memerlukan permohonan peruntukan kepada pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Tambahnya, semalam berlangsungnya Program Kaunter Aduan Rakyat di Dewan Sivik Chalok Kedai di DUN Langkap. Pada sebelah petang pula, sesi bertemu mata di kedai bersama penduduk Kampung Kubang Puyu, Chalok dan menyantuni anak belia di Kampung Bukit Tok Hat.

Shaharizukirnain juga berkata, program seumpama itu bukanlah kali pertama diadakan. Sebagaimana tahun-tahun lalu, program tersebut telah menjadi rutin bagi parlimen Setiu untuk bertemu lebih dekat dengan penduduk di kawasannya.

“Program ini telah dibuat bermula tahun 2018 lagi dan banyak tempat telah dilaksanakan tapi terpaksa dihentikan kerana penularan Covid-19 dan sekarang ia disambung semula," katanya.


Tag:

Artikel Berkaitan