• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kebakaran KBC Pengalaman Berharga Buat Pasukan Bomba



Anggota bomba berjalan keluar selepas selesai melakukan tugasan pemadaman

Kebakaran  tangki minyak milik Kemaman Bitumen Company (KBC), di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong  yang memusnahkan tiga tangki simpanan minyak mentah dan menyebabkan kerugian jutaan ringgit memberikan
 pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Negeri Terengganu, Pahang dan Perak.

Kerja pemadaman selama tiga hari itu melibatkan kerahan 450 anggota bomba yang perlu menyertai operasi pemadaman kebakaran pada skala yang besar, berbeza seperti sebelum ini.

Antara cabaran yang dihadapi ialah terpaksa berhadapan kebakaran yang sangat besar beserta dengan bahang api yang terlalu panas merupakan satu cabaran yang dihadapi oleh setiap anggota di samping keadaan tangki yang berpotensi untuk meletup pada bila-bila masa.


Razidi Abdul Rahim
Manakala Pegawai Bomba Kanan II, Razidi Abdul Rahim, 35, dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, pula menyifatkan kejadian itu sebagai yang terburuk srpanjang 15 tahun menjadi anggota bomba.

"Pertama kali kita berhadapan dengan operasi macam ni, perasaan teruja pun ada takut pun ada. Dari segi teknik pemadaman banyak kita dapat belajar dari pegawai-pegawai kanan dan juga orang-orang lama yang ada pengalaman dari segi kerja pemadaman kebakaran minyak," katanya.

Zaiharis Sandar 

Bagi Pegawai Bomba Kanan II,  Zaiharis Sandar ,38 , dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, kejadian pada hari pertama amat menakutkannya selama 14 tahun bergelar seorang pegawai bomba apabila berada begitu hampir dengan tangki yang terbakar dan letupan pada ketika itu.

"Jika lihat pada hari pertama itu memang menakutkan apatah lagi ketika itu tidak ada ramai bantuan yang tiba dan saya bersama pasukan yang lain sahaja yang ada dan ketika letupan kali pertama, saya berada hampir dengan tangki tersebut. Angin yang kuat juga menyebabkan kebakaran menjadi lebih besar.

"Meskipun terpaksa berhadapan dengan situasi bahaya sepanjang operasi selain sedar ia boleh mengancam nyawa, kami tetap berusaha sedaya upaya tanpa menghiraukan perasaan takut ketika itu,"katanya.


Khairul Anwar Mohamad
Sementara Pegawai Bomba, Khairul Anwar Mohamad , 41, dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut pula berkata, perasaan takut dan cemas memang ada pada setiap anggota apabila berhadapan dengan keadaan sedemikian, namun demi tugas mereka terpaksa melupakan semua perasaan tersebut.

"Kita telah diterapkan daripada rekrut lagi dan sebelum pakai uniform memang kita rasa biasa tapi bila pakai uniform semangat tu memang berkobar-kobarlah untuk pergi padamkan api walaupun letih tapi dengan  semangat kawan-kawan semua, semua perasaan itu hilang," katanya.

Bagi semua anggota bomba, perit jerih sepanjang operasi pemadaman kebakaran merupakan satu kenangan yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh mereka dan keletihan yang dialami mereka  terbalas apabila kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.





Tag: