• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kejohanan Futsal Piala Dr Riduan Mohd Nor Raikan Anak Muda

Bersukan bukan penghalang untuk menutup aurat.
Oleh: Jusmawari Jusoh

BESUT, 11 Februari - Kejohanan Futsal Piala Dr Riduan Mohd Nor yang juga merupakan Pegawai Penyelaras Parlimen Besut telah berlangsung pada 8 hingga 9 Februari 2019 di Gelanggang Futsal Limbongan, Besut.

Kejohanan yang disertai oleh 48 pasukan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang anak muda termasuk mereka yang terlibat dengan pertandingan futsal di peringkat daerah dan juga negeri.

Pegawai Penyelaras Parlimen Besut, Riduan Mohd Noor berkata, kejohanan yang diadakan itu  adalah untuk menggalakkan anak muda sentiasa mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah.

"Tujuan pertandingan ini diadakan untuk merapatkan ukhuwah di antara anak-anak muda di daerah ini.

"Selain menjadikan anak-anak muda sihat, menjauhi najis dadah dan juga melahirkan masyarakat yang berdisiplin tinggi," ujarnya.
Riduan Mohd Nor menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Program yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan Pulut Ikan Bakar FC (PIBFFC) dinobatkan sebagai juara, manakala GB FC dan Paya Rawa FC masing-masing berada pada tempat kedua dan ketiga.

Kejohanan itu juga turut menobatkan Zulkifli Abdullah sebagai pemain terbaik kejohanan dengan jaringan dua gol dalam perlawanan akhir.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Pejabat Pegawai Penyelaras Parlimen Besut dengan kerjasama Department of Art, Culture and Sport (DACS) daerah Besut.
Dr Riduan bergambar kenangan bersama pasukan bertanding.
Menurut Pengerusi DACS Besut, Suhaimi Mohd, aktiviti sebegini akan terus dipergiatkan daripada semasa ke semasa.

"Kolaborasi bersama pihak Pegawai Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohamad Nor akan terus diadakan selepas ini.

"Yang terdekat menerusi pertandingan sepak bola penalti dengan objektif yang sama iaitu untuk menarik anak muda mencintai cara hidup yang sihat, bertenaga dengan bersukan patuh syariah.

"Semoga dengan kejohanan sebegini dapat memberi manfaat kepada pemuda-pemuda di daerah Besut untuk mengamalkan gaya hidup sihat , menjauhi kegiatan tidak bermoral, di samping mengisi masa lapang dengan agenda hidup yang bermanfaat seperti ini," katanya.

Tag: