• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Digesa Tubuh Pusat Pemurnian Akidah, Akhlak

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Cadangan penubuhan Pusat Pemurnian Akidah dan Akhlak, Baitul Iman akan membantu mengatasi masalah ketiadaan pusat pelindungan kepada pesalah syariah wanita Negeri Terengganu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, Mahkamah Syariah memerintahkan pesalah ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan oleh Majlis selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

Namun, masalah utamanya adalah sehingga kini, masih belum ada mana-mana pusat atau rumah yang diluluskan bagi tujuan tersebut dalam Negeri Terengganu.

"Sekiranya Mahkamah Syariah Terengganu memutuskan pesalah dikenakan tahanan di pusat pemulihan atau rumah diluluskan, maka pesalah akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor.

"Manakala bagi pesalah lelaki, mereka akan dihantar ke Baitul Iman, Hulu Yam, Selangor," ujarnya.

Zuraida berkata demikian ketika dalam berucap dalam Perbahasan Ucapan Titah Tuanku dalam Sidang DUN di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Kata Zuraida Kos untuk menghantar pelatih ke sana akan ditanggung oleh pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), dengan kadar RM7,080 bagi tempoh enam bulan untuk seorang pelatih.

"Antara rasional mengapa perlunya pusat ini diwujudkan di Terengganu ialah kerana pesalah wanita akan ditempatkan ke pusat pemulihan yang terletak di Selangor yang sudah tentu akan memakan masa perjalanan yang panjang dan jarak yang jauh serta pesalah juga terpaksa dimasukkan ke lokap sebelum dibawa ke pusat pemulihan.

"Di samping itu, pesalah berhadapan dengan risiko kemalangan di jalan raya kerana menggunakan pengangkutan darat selain kos tanggungan dapat dijimatkan.

"Saya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Ustaz Satiful Bahari Mamat bercadang untuk membina pusat pemulihan akhlak dan aqidah di Marang dan saya mencadangkan agar pusat tersebut turut membawa fungsi sebagai Pusat Pemurnian Aqidah dan Akhlak untuk pesalah wanita, dengan cadangan nama Baitul Iman," katanya.