Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
Kerajaan Negeri Bantu Keluarga Mangsa Bunuh, Siti Nur Surya
KUALA TERENGGANU, 5 November - Kerajaan negeri sedia membantu dan membuat pemantauan secara berkala kepada keluarga Allahyarhamah Siti Nur Surya Ismail, 19, yang ditemui mati dibunuh dengan kesan tetakan di Kampung Lubuk Batu, Telemong, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi membantu keluarga ini meneruskan kehidupan mereka, terutamanya ibu mangsa, Zaini Musa, 55, yang terlantar lumpuh akibat kanser otak.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya dan YB (Yang Berhormat) Dr Mamad yang berkesempatan hadir pada hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang sangat mendukacitakan ini. Kita sangat mengharapkan selepas dari ini, tiada lagi kejadian seumpama ini berlaku.
"Untuk selanjutnya kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan sewajarnya. Elakkan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keraguan pada mana-pihak sehinggalah perkara ini benar-benar dipastikan oleh pihak yang bertanggungjawab.
"Kerajaan Terengganu akan beri sokongan dari segi moral, bantuan kewangan dan sebagainya kepada keluarga mangsa. Untuk hari ini, saya serahkan sumbangan mewakili Pengerusi Darul Iman di samping bantuan serta khidmat kaunseling dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Tabung Darul Iman akan diberikan dari masa ke masa," jelasnya ketika ditemui pemberita sewaktu menziarahi keluarga mangsa di Kampung Beladau Selat di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puted, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu.
Terdahulu, pelajar perempuan Tingkatan Enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, dengan mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus, direman kelmarin di Mahkamah Majistret Marang selama tujuh hari sehingga Isnin depan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan kerana membunuh.