• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Kerajaan Negeri Sokong Penuh Jadikan 'Terengganu Bebas Asap Rokok'

Haji Ahmad Amzad (tengah) ketika merasmikan program "Training of Trainers, Terengganu Bebas Asap Rokok dan Terengganu Bersih.
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Kerajaan negeri menyokong penuh usaha membudayakan tabiat tidak merokok sebagai satu agenda kempen 'Terengganu Bebas Asap Rokok dan Terengganu Bersih' di seluruh negeri ini.
 
Justeru, program "Training of Trainers, Terengganu Bebas Asap Rokok dan Terengganu Bersih" telah berlangsung di TD 1303, di sini semalam dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim dengan mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai.
 
Haji Ahmad Amzad dalam satu kenyataan medianya berkata, program ini melibatkan sesi ceramah bagi meningkatkan pengetahuan peserta dan sesi praktikal di kawasan Batu Buruk, di sini.
 
Ia juga membabitkan penyebaran risalah bagi menambahkan kesedaran pengunjung, kutipan puntung rokok dan sampah sarap serta diakhiri dengan "flashmob".
 
'Flashmob' turut diadakan di Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu.
Katanya, pada kali ini, program telah dihadiri oleh peserta dari pelbagai NGO termasuk Pertubuhan Amal Perubatan  Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Majlis Belia Kuala Terengganu, i-Medik, Terengganu Bersih, serta staf dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
 
"Sesungguhnya inisiatif Terengganu Bebas Asap Rokok ini telah bermula sejak diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pada 19 Februari 2014, dengan diwartakan Jalan Haji Busu, Jalan Persinggahan, Jalan Kelab Kerajaan dan Pantai Batu Buruk sebagai kawasan Bebas Asap Rokok seperti dalam peta P.W. 1009 pada 1 Julai 2017," ujarnya.
 
Usaha pewartaan kawasan bebas rokok katanya, adalah usaha yang telah berlangsung di Melaka, Kelantan, Pulau Pinang selain melibatkan usaha di peringkat antarabangsa seperti New York (USA), Hillsborough (United Kingdom), Luang Prabang (Laos), Davao City (Filipina) dan Tobacco Free Singapore.
 
"Umum telah mengetahui keburukan rokok yang boleh menyebabkan kanser paru-paru, kanser tekak, kanser usus, kanser pangkal rahim, leukemia dan sakit jantung malah ia juga mendatangkan kesan negatif pada ekonomi dan juga sosial masyarakat serta negara.
 
Peserta menampal pelekat anti merokok di tempat awam.
"Ia juga menimbulkan isu kebersihan kerana puntung rokok adalah diperbuat dari Cellulose Acetate yang apabila dibuang merata-rata bukan sahaja mengotorkan, bahkan memakan masa berdekad lamanya untuk reput," jelasnya lagi.
 
Menurut beliau, sebelum ini, beberapa siri "plogging" telah dijalankan dalam Kempen Terengganu Bersih sebagai usaha meningkatkan kebersihan di Kuala Terengganu.
 
"Maka, dengan demikian saya menyokong penuh usaha penganjur program iaitu PAPISMA dan Terengganu Bersih, serta menyeru semua agensi kerajaan dan masyarakat turut bersama mendokongnya," ujarnya lagi.

Tag: