KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Kerajaan Terengganu mengesahkan bahawa isu berkaitan status tanah ladang komersial Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri ini bakal dimuktamadkan melalui satu perjanjian rasmi yang dijadualkan pada Mac 2026.
Langkah penyelesaian tersebut melibatkan kawasan ladang komersial yang kini disahkan berkeluasan kira-kira 18,000 hektar, meningkat berbanding anggaran 15,000 hektar yang dilaporkan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, sebaik sahaja perjanjian ditandatangani, pihak Felda akan mengemukakan permohonan tanah secara rasmi melalui Borang Jadual 1.

"Ini adalah prosedur standard bagi mana-mana pihak yang berhasrat memohon tanah milik kerajaan, di mana peraturan yang terpakai adalah sama rata sama ada untuk pemohon individu mahupun syarikat korporat," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.Menurut beliau, pengemukaan Borang Jadual 1 tersebut merupakan langkah prosedur penting bagi membolehkan status tanah berkenaan didaftarkan secara sah mengikut Kanun Tanah Negara.
Azman turut menjelaskan bahawa proses teknikal ini membuktikan komitmen kedua-dua pihak, iaitu Kerajaan Negeri dan Felda, untuk menyelesaikan isu berbangkit secara harmoni dan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.
Kerajaan Negeri optimis bahawa pemeteraian perjanjian ini akan menamatkan pertikaian berhubung status tanah tersebut dan membolehkan pengurusan aset ladang berjalan dengan lebih teratur pada masa hadapan.