• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Keringat Pelajar Cemerlang Terengganu Dapat Pengiktirafan

Oleh : Rohayati Ripin

BESUT, 15 Julai – Keringat pelajar yang berkorban wang, masa dan tenaga demi mendapatkan satu keputusan cemerlang dalam pelbagai peperiksaan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, usaha jitu anak-anak Terengganu sama ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sangat luar biasa.

“Terdahulu, semasa program Motivasi Online bersama pelajar SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMA) Ittifakiah, saya telah berjanji akan memberi hadiah penghargaan kepada pelajar yang cemerlang pada tahun ini.

“Alhamdulillah, saya diizinkan Allah mengotakan janji dan turun menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada dua orang pelajar yang berjaya memperolehi keputusan A dalam semua subjek yang diambil,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas program Penyerahan Anugerah Kecemerlangan SPM 2020 kepada dua orang pelajar SMA Ittifakiah, Jerteh, di kediaman masing-masing, semalam.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Aizat Safwan, Pengetua SMA Ittifakiah, Hilmi Hassan, Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad dan Pengerusi Mawaddah Terengganu, To' Puan Hajah Zarani Othman.

Dua pelajar yang diraikan ialah Umi Najwa Wahid, 11A dan Ahmad Nushhi Abrar Bin Syarifuddin, 9A dengan keputusan semua A.

Tambah Yahaya, Umi Najwa turut mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) (Kampus Sultan Abdul Halim) manakala Nusshi di IPG Batu Rakit.

Justeru itu, beliau berharap dengan sedikit sumbangan yang diberikan dapat memberikan semangat kepada mereka untuk maju dalam apa jua bidang yang akan diceburi.

SMA Ittifakiah merekodkan seramai 21 orang pelajar mencapai keputusan 5A ke atas. Seterusnya menjadikan rekod terbaru dicapai dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.14 pada tahun ini berbanding tahun lalu 4.86.