• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kes Lewat Daftar Sijil Lahir Tunjukkan Penurunan Ketara

MARANG, 9 Mei – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima 6,894 kes pendaftaran lewat sijil kelahiran tahun lepas berbanding 30,466 kes yang direkodkan pada 2010 di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh, berkata penurunan jumlah yang agak ketara ini adalah hasil  pelaksanaan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) oleh JPN.

“Tahun 2010 kita mempunyai 30,466 permohonan pendaftaran lewat kelahiran dan jumlah ini makin berkurang saban tahun dengan data terkini dicatatkan pada tahun lepas adalah 6,894 permohonan saja.

"Program turun padang JPN ini menyantuni golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar, komuniti yang tinggal jauh di pedalaman serta golongan miskin agar urusan berkaitan dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan sijil kelahiran mereka dapat diselesaikan dengan mudah dan lancar,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) 'Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri' anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu di Kampung Gong Balai, Merchang, di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, Ruslin menyerahkan sijil kelahiran daftar lewat kepada Nur Iffika Dahlia Rusli, 9, dan adiknya, Nur Irine Delisha, 2, yang tiada dokumen pengenalan diri selepas kelahiran mereka tidak didaftarkan disebabkan ibu bapa kanak-kanak itu mempunyai masalah kewangan dan kesihatan.

Hadir sama, Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem dan Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah.

Sementara itu, ibu kepada dua kanak-kanak tersebut, Bibi Sopiar Jusoh, 43, berkata beliau lega kerana masalah ketiadaan sijil kelahiran yang berlanjutan sejak sembilan tahun lalu akhirnya berjaya diselesaikan hari ini.

"Kami ini orang kampung, takut juga bila diberitahu akan didenda kerana tiada dokumen macam buku rekod kehamilan, sijil lahir ibu bapa dan beberapa lagi dokumen lain...tak sangka pula masalah ini berlarutan sampai sembilan tahun.. 

"Alhamdulillah, saya akan segera daftarkan Nur Iffika Dahlia ke sekolah dalam masa terdekat agar dia mempunyai masa depan yang terjamin," katanya.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, bagi semenanjung pendaftaran untuk satu kelahiran perlu dibuat dalam tempoh 60 hari dan selepas tempoh itu, ia dikira pendaftaran lewat kelahiran.

Katanya. rata-rata kes melibatkan kurang kesedaran ibu bapa sebaik kelahiran mereka apabila membiarkan anak-anak tanpa sebarang dokumen.

Bagaimanapun katanya, alasan itu sukar diterima kerana JPN mempunyai 235 pejabat di seluruh negara dengan setiap kelahiran wajib didaftarkan dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung Malaysia dan 14 hari bagi Sabah dan Sarawak.

“Saya harap orang ramai tidak mengambil mudah soal pendaftaran kelahiran kerana boleh mendatangkan masalah di kemudian hari seperti mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Untuk rekod, empat negeri dilaporkan merekodkan jumlah permohonan pendaftaran lewat kelahiran paling tinggi dalam negara sepanjang tahun lalu iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sabah dan Sarawak.


Tag: