KUALA LUMPUR , 27 Januari - Sikap tamak manusia yang tidak pernah merasa cukup terhadap harta disifatkan sebagai antara punca utama berlakunya rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran negara.
Perkara itu dibangkitkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, manusia yang dikuasai nafsu harta akan sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan diri, walaupun perbuatan tersebut memberi kesan besar kepada rakyat dan negara.
Beliau mengumpamakan sikap tersebut seperti seekor beruk yang terlalu tamak kepada pisang, sehingga tidak mampu berfikir antara keperluan dan kehendak.
“Apabila nafsu menguasai diri, manusia hilang pertimbangan. Harta dikejar tanpa batas, amanah diketepikan, akhirnya rasuah menjadi kebiasaan,” katanya.
Tuan Guru berkata, ketamakan inilah yang menyebabkan berlakunya kegagalan projek, pembaziran dana awam serta ketirisan bajet yang merugikan kerajaan.
Menurutnya, terdapat keadaan di mana projek tidak siap, bangunan hospital gagal diluluskan, malah pembelian aset penting negara tidak sampai kepada tujuan sebenar akibat campur tangan pihak tidak bertanggungjawab dan orang tengah.
“Semua ini berpunca daripada sikap tamak. Wang rakyat diambil, amanah dikhianati dan yang menanggung akibatnya ialah rakyat biasa,” jelasnya.
Tambah beliau, rasuah bukan sekadar jenayah kewangan, tetapi penyakit jiwa yang merosakkan sistem, melemahkan negara dan menghancurkan kepercayaan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembanterasan rasuah tidak boleh dilakukan secara bermusim atau terpilih, sebaliknya mesti disertai dengan pembinaan akhlak, ketegasan undang-undang dan penghapusan budaya tamak dalam kalangan pemimpin.
Menurut beliau, negara hanya akan selamat apabila nafsu ketamakan dikawal, amanah dijunjung dan keadilan ditegakkan tanpa kompromi.