• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ketegasan Ayah Bawa Kejayaan Kepada Johan Tilawah Dungun

DUNGUN, 31 Mac- Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Dungun 2021, Muhamad Mustafa Ali, 31 berterima kasih kepada arwah ayahnya Allahyarham Haji Ali Yahya yang tegas dan bersungguh-sungguh dalam mendidik beliau dan adik-beradik yang lain.

Mustafa berkata, tanpa mengira tempat dan masa bila arwah bapa ada kelapangan maka salah seorang adik beradiknya akan dipanggil untuk untuk mengaji sambil bertaranum.

"Ayah berniaga  di pasar malam, jadi jika tiada pelanggan, mana ada anak yang ikut akan dipanggil masuk van (untuk mengaji dengan bertaranum), malah ada kalanya sedang main guli dengan kawan-kawanpun ayah panggil," ceritanya yang memperolehi markah sebanyak 90 peratus sekali gus berjaya mendahului tiga lagi peserta lain.

Dalam majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat di Dewan Jabatan Kerja Raya, Daerah Dungun itu menyaksikan keluarga beliau masih mendominasi tiga tempat teratas samada kategori qari ataupun qariah. 

Tempat kedua kategori lelaki dimenangi sepupunya, Mohd Qasim Husni dan adiknya, Yahya Ali mendapat tempat ketiga. 

Turut sama hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan  Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Nizam Che Mat. 

Sementara itu, kategori wanita, saudara perempuannya Siti Nasuha Ali telah dinobatkan sebagai johan qariah mengalahkan saudara perempuan yang lain, Norasid @Norasiah Ali, naib johan dan Noor Azizah Ali di tempat ketiga. 

Sementara itu, Satiful memuji Allahyarham Haji Ali yang meninggalkan anak-anak yang terus menguasai persada tanah air di dalam bacaan Al-Quran. 

"Tahniah kepada lapan orang peserta yang mengambil bahagian, enam daripada mereka adalah daripada Kampung Che Lijah, tempat lahir ramai qari dan qariah sehingga di peringkat antarabangsa yang merupakan anak-anak allahyarham Haji Ali," ujarnya.


 


Tag: