KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mengumumkan usaha membantu pengusaha dan masyarakat setempat dengan pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia Pasar Prihatin Wilayah KETENGAH (PASKET) di 17 lokasi yang akan bermula di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Sabtu ini.
Pengerusi KETENGAH, Senator Datuk Razali Idris berkata, PASKET dilihat sebagai satu usaha membantu terutama kepada golongan B40 yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang berdepan situasi sukar meneruskan kehidupan seharian.
"Biasanya program jualan ini cuma diadakan sekali-sekala, namun kami melihat untuk mengadakan PASKET dalam dua fasa. Fasa pertama melibatkan tujuh lokasi di tujuh lokasi dalam daerah Dungun sebanyak tiga lokasi, Kemaman (2) dan Hulu Terengganu (2) yang berlangsung dari Mac hingga Mei.
"Manakala fasa kedua kita jadualkan berlangsung dari Jun hingga September melibatkan 10 lokasi iaitu di Dungun (4 lokasi), Kemaman (2) dan Hulu Terengganu (2) yang mana kita utamakan kawasan dalam wilayah KETENGAH," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, program berkenaan berbeza dengan program jualan lain kerana diadakan dalam skala besar melibatkan lebih 80 pengusaha tempatan dengan kos subsidi kira-kira RM2 juta untuk memastikan harga ditawarkan pada kadar rendah.
"Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) termasuk para pengusaha yang datangnya dari pasar tani, pasar malam dan pasar besar di wilayah KETENGAH.
"Untuk kehadiran, kita jangka akan menerima kedatangan sekitar 70 peratus penduduk kerana PASKET diadakan pada skala besar kali ini. Sebagai tambahan, kita melangsungkan PASKET di AMBS ini selama dua hari satu malam dengan diserikan persembahan buskers-buskers yang kitaa panggil dari seluruh Terengganu.
"Kita juga adakan permainan rakyat seperti memanah, silat, cabutan bertuah untuk menarik minat pengunjung hadir memeriahkan PASKET ini," katanya.
Antara barangan yang akan dijual terus kepada rakyat ialah ikan segar dan beku, sayur dan buah-buahan, barangan kawalan seperti minyak masak, barangan proses dan tin, daging dan ayam serta produk-produk industri kecil sederhana (IKS).