• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Ketibaan Obor Di Terengganu Disambut Meriah

Penyerahan obor daripada Datuk Zawawi Othman telah diterima oleh Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman. - Foto oleh Harish Fadzillah Kassim

Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sempena Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para Asean Kesembilan tiba di Terengganu dengan sambutan yang meriah d sempadan negeri Kelantan dan Terengganu, kira-kira jam 2.15 petang semalam.
Sambutan diwarnai dengan perarakan kereta kuda, pasukan berbasikal, jentera bermotor serta diraikan penduduk sekitar temasuk pelajar sekolah.
Penyerahan obor daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Kelantan, Datuk Zawawi Othman telah diterima oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Ahmad Razif berkata, Terengganu akan membuat kelainan dalam menyambut obor di negeri ini, dimana obor akan dibawa melalui laluan laut iaitu dengan menyelam (skuba driving) di Pulau Perhentian pada hari ini.
“Kita harus bersyukur dengan apa yang telah kita kecapi, kita telah dapat menyediakan sesuatu lengkap. Semoga pasukan Malaysia akan dapat mengumpul pingat emas terbanyak dan menjadi Juara Sukan SEA 2017.
“Sekiranya antara 71 atlet Terengganu yang mewakili negara dapat memungut pingat dalam sukan SEA ini, kerajaan negeri akan memberi imbuhan kepada mereka mengikut kategori yang telah ditetapkan,”katanya.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad berkata obor tersebut mula dibawa dari Johor Baru dan akan mengelilingi setiap negeri.
Katanya, sepatutnya Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2019, oleh kerana negara Brunei telah menarik diri, Malaysia sanggup untuk menjadi penganjur pada tahun ini demi menjaga reputasi Sukan SEA.
“Oleh itu, saya mewakili Kementerian Belia dan Sukan memohon kerjasama dari semua pihak untuk menyokong hampir 500 para atlet memungut emas terbanyak dan menjadi juara keseluruhan pada tahun ini,”katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, Nawi Mohammad, Adun Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Rahman dan pegawai kerajaan negeri.

Tag: