lightning-solid
Berita :
Khatan Percuma Kembali, Bantu Golongan Kurang Berkemampuan
Khatan Percuma Kembali, Bantu Golongan Kurang Berkemampuan
Arifuddin Alias
18 jam yang lepas
69

KUALA NERUS, 19 Disember – Program Khatan Perdana terus menjadi antara inisiatif kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat apabila menyediakan perkhidmatan berkhatan secara percuma kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan (B40).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat berkata, program yang dianjurkan saban tahun itu bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, malah memenuhi tuntutan agama yang penting dalam kehidupan umat Islam.

Menurut beliau, kos berkhatan yang kini mencecah sehingga RM150 dilihat semakin membebankan sebahagian ibu bapa, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Dengan kerjasama Masjid Seberang Takir, program ini akan dilaksanakan pada 20 haribulan ini, Insya-Allah. 

“Inisiatif ini memberi ruang kepada anak-anak untuk berkhatan dalam keadaan selesa tanpa membebankan keluarga,” katanya.

Tambah beliau, berkhatan merupakan amalan yang selari dengan fitrah manusia dan mencerminkan kesyumulan ajaran Islam yang menitikberatkan aspek kebersihan serta kesihatan.

“Islam adalah agama fitrah. Berkhatan bukan sahaja satu tuntutan agama, malah sangat penting dari sudut kesihatan dan kesejahteraan diri,” katanya lagi.

Program berkenaan dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, khususnya keluarga yang memerlukan, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam komuniti.


Tag :

Artikel Berkaitan