• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Kilang Tepung Ubi Vitato Terbiar Bakal Pulih

BESUT, 10 April - Kerajaan negeri berhasrat memulihkan kembali kilang Tepung Ubi Vitato yang terbiar sejak tahun 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pelan pemulihan yang lebih teliti akan digerakkan dengan menyemak faktor-faktor kegagalan.

"Kos pembinaannya adalah RM4.8 juta merupakan jumlah yang sangat besar dan sayang apabila ia terbiar begitu sahaja tanpa dimanfaatkan, oleh kerana itu kita telah melihat beberapa perkara secara asas yang menjadi punca kenapa kilang ini tidak boleh berfungsi dengan baik untuk diselesaikan.

"Terdapat beberapa langkah yang akan kita ambil bagi memajukan kembali kilang ini, sebelum itu kita akan melakukan perbincangkan terlebih dahulu dari segi isu pentadbiran dan pemilikan untuk diperkemaskan semula secara khusus kemudian tindakan seterusnya akan dilakukan.

"Bersama dengan pemilih tanah dan agensi yang terlibat ketika dibangunkan kilang ini iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang Mardi, Jabatan Pertanian dan IADA Ketara  dengan penyelarasan bertindak daripada kerajaan negeri," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan di kilang berkenaan, di Kampung Pengkalan Kubor, Tembila, di sini, pada hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata kerajaan sangat optimis projek itu akan dapat dipulihkan serta akan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan.

"Ia telah menjadi hasrat dan cita-cita kerajaan negeri sejak tahun 2018 yang telah kita senaraikan sebagai salah satu projek yang tidak mencapai objektif yang perlu kita pulihkan," ujarnya lagi.