• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kluster Baharu COVID-19 Muncul Lagi Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Terengganu mencatatkan satu kluster baharu jangkitan COVID-19 iaitu Kluster Ladang Bukit berpunca akibat ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja.

Pengarah Kesihatan Negeri, Nor Azimi Yunus berkata ia melibatkan empat daerah iaitu  Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Terengganu berpunca dari jangkitan di tempat kerja di Kerteh dan akhirnya merebak ke komuniti.

Katanya, sehingga kini, seramai 96 kes positif dikesan dari kluster tersebut dimana 49 adalah pekerja manakala 47 orang adalah ahli keluarga. Seramai 1,023 kontak rapat berjaya dikesan

“Ia melibatkan seorang pekerja  di tempat kerja Kerteh yang mempunyai gejala dan dikesan positif didapati berulang alik ke sebuah negeri kerana isteri dan anaknya tinggal di sana.

“Bila kes positif masuk bekerja, mereka akan menjangkiti rakan sekerja pula. Apalagi kalau tempat kerja yang sempit dan sesak ditambah pula mereka bekerja bersama-sama selama 14 jam sehari. 

“Hasilnya seramai 49 dari 161 orang pekerja tadi dikesan positif serentak. Ini bermaksud transmisi telah lama berlaku,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik laman Facebooknya hari ini.

Kluster Ladang Bukit yang didaftarkan pada 12 Mac lepas adalah kluster tempat kerja yang  yang mana kes indeks bagi kluster ini membabitkan seorang lelaki berusia 29 tahun, warganegara Malaysia dan dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Mac hasil saringan individu bergejala. 

“Untuk kluster ini juga seramai lima pelajar dan seorang guru dari enam sekolah rendah telah dijangkiti.

“Kita akui pematuhan SOP di rumah sangat sukar tetapi pematuhan SOP oleh pekerja dan majikan di tempat kerja adalah mesti bagi mengelakkan penularan yang besar seperti yang berlaku di Ladang Bukit ini,”ujarnya lagi.

Nor Azimi berkata, walaupun sudah setahun lebih  bercakap mengenai kepatuhan SOP namun pelanggaran SOP masih boleh dilihat di mana-mana walaupun ia sepatutnya sudah menjadi norma baharu oleh semua pihak.

“Kita setuju rentas negeri tidak boleh selamanya dilarang. Sampai masa ia akan dibuka semula dan pokok pangkal masih perlu kepada pematuhan SOP,”tambahnya.

Beliau juga berharap kluster Ladang Bukit tidak menjadi kembar Makekar yang  masih terasa kesannya hingga kini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui Facebook rasminya melaporkan 15 kes baharu COVID-19 direkodkan di  negeri itu sehingga semalam menjadikan jumlah kes aktif ketika ini 199 dengan 16 kluster aktif setakat ini.

Daripada jumlah itu, 197 kes berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala dua pesakit menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tanpa memerlukan alat bantuan pernafasan.
 


Tag: