KUALA TERENGGANU, 22 April - Ketegangan geopolitik yang melibatkan Iran di rantau Timur Tengah kini menimbulkan kebimbangan global, termasuk kesan tidak langsung kepada Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, konflik tersebut bukan sekadar isu serantau, sebaliknya berpotensi memberi implikasi besar terhadap kestabilan ekonomi dan sosial negara.
Menurut beliau, kenaikan kos tenaga susulan konflik berkenaan dijangka memberi tekanan kepada kadar inflasi, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan dan logistik global.
“Keadaan ini akan menyebabkan harga barangan import termasuk makanan dan komponen industri meningkat, seterusnya membebankan rakyat melalui peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman.
Tambah beliau, peningkatan kos input pengeluaran turut memaksa pengeluar tempatan memindahkan beban tersebut kepada pengguna, sekali gus menjejaskan kuasa beli masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri menginstitusikan pendekatan pengukuhan fiskal secara berhemat melalui kerangka belanjawan berasaskan keberhasilan serta memberi tumpuan kepada sektor berimpak tinggi.
“Peruntukan perlu dijajarkan semula ke arah sektor strategik seperti sekuriti makanan, tenaga dan sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi memastikan kemampanan fiskal jangka sederhana,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan mempercepatkan inisiatif peningkatan pengeluaran makanan domestik melalui pewujudan zon pertanian berintensiti tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
Katanya, sasaran peningkatan hasil sebanyak 15 hingga 20 peratus mampu membantu menstabilkan tekanan harga dalam rantaian bekalan makanan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas peruntukan sebanyak RM2.9 juta bagi pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman di bawah Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT).
“Langkah ini amat tepat dalam membantu meringankan beban kewangan petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat krisis global ketika ini,” katanya.