• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Koperasi Berperanan Tingkatkan Ekonomi Rakyat

KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Bermula 1922, gerakan koperasi mula diperkenalkan dan telah memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi Negara. 

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, sebagai usaha mengatasi masalah penindasan oleh orang tengah, koperasi diperkenalkan sebagai organisasi yang berdikari dalam memajukan kehendak sosio-ekonomi anggota-anggotanya.

"Sehingga kini, Gerakan Koperasi telah memasuki pelbagai bidang ekonomi dan menjalankan pelbagai fungsi seperti perumahan, pengangkutan, kemajuan tanah, insurans, percetakan dan perkhidmatan bank.

"Dimaklumkan bahawa sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 773 buah koperasi telah didaftarkan di Terengganu, dengan jumlah keanggotaan berjumlah 246,333 orang, jumlah aset bernilai RM680 juta dan jumlah perniagaan koperasi bernilai RM360 juta.

"Jumlah ini didapati meningkat jika dibandingkan pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan sambutan yang baik oleh masyarakat terhadap konsep berkoperasi, lebih-lebih lagi apabila proses penubuhannya yang semakin dipermudahkan," katanya. 

Beliau kerkata demikian ketika berucap Merasmikan Majlis Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Terengganu, Sempena Sambutan 100 Tahun Koperasi yang diadakan di The Payang Scout Hotel (Scout Inn), Teluk Ketapang, Kuala Nerus, kelmarin. 

Turut sama hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya, Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar Dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Umar Sarim Saidin, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mohd Aznan Abdul Aziz, Pengarah Institusi Koperasi Malaysia Zon Timur, Puan Haslinda Sujak dan para tetamu semua.

Katanya lagi, Sambutan Hari Koperasi tahun ini yang bertemakan '100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia' mencerminkan bahawa koperasi telah matang dan perlu terus bergerak ke hadapan dengan menggunakan kemahiran untuk menjana peluang-peluang perniagaan.

"Tambahan lagi ketika ini, peluang-peluang perniagaan terbuka luas dalam sektor pertanian, ternakan, perkhidmatan dan perindustrian. Jika kita tidak mampu di segi modal, kita bergabung melalui koperasi untuk merebut peluang-peluang tersebut," jelasnya.

 


Tag: