• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KPDNHEP Cadang Hasilkan Peranti Khas Untuk Pelajar

KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bakal bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyediakan peranti khas berikutan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya bercadang menetapkan model khas alat peranti seperti komputer riba atau tablet yang memenuhi spesifikasi minimum PdPR.

"Kita dengan pemain industri akan mengadakan pertemuan dengan KPM untuk mencipta satu produk yang sesuai bagi pelajar dalam masa terdekat.

"Selepas mendapat spesifikasi dan saranan yang sesuai daripada KPM yang dijangka bermesyuarat pada hari Rabu ini, baru kita boleh tentukan harga di bawah paras RM2,000.

"Idea bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa yang perlu membeli gajet untuk keperluan sekolah anak mereka untuk PdPR susulan pandemik COVID-19,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan dan pemeriksaan di pusat penjualan dan servis komputer, Aidea.com di Panji Curve, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman dan Pengarah KPDNHEP negeri, Shaharuddin Mohd Kia.

Mengulas tentang Ops Catut 8.0, Rosol berkata, bermula 25 Januari sehingga 7 Februari seramai 341 peniaga telah dikemukakan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, tindakan lanjut boleh diambil mengikut Seksyen 14 AKHAP 2011 atas kesalahan mencatut dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan.

"Sekiranya bukan perbadanan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.


Tag: