• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kuasai Teknologi Maklumat, Kunci Pemahaman Masyarakat

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 10 April - Kepentingan dalam menguasai bidang teknologi maklumat (ICT) semasa era digital kini adalah kritikal dalam memberi penerangan dan pemahaman mendalam kepada masyarakat.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, impaknya turut besar dalam mengukuhkan sesebuah kerajaan negeri ini.

"Kita berada pada zaman teknologi digital yang menuntut kakitangan kerajaan seperti pegawai media untuk melaporkan berita yang tepat dan jitu berkenaan perkembangan komuniti sekeliling dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka.

"Saya berharap kepada semua pegawai media berkebolehan dan berkemahiran tinggi tahu memilih teknik penyampaian terbaik,tahu menyampaikan informasi itu dan mendapat liputan yang seberapa luas serta menyeluruh," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan program Pemantapan Pegawai Khas dan Pemerkasaan Pegawai Media Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di Paya Bunga Hotel, baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun pegawai media merupakan ‘wira yang tidak didendang’ dan kerjayanya hanya disebalik tabir tetapi peranan mereka sangat penting.

Tambah Yahaya, kesannya cukup besar dalam meningkatkan kredibiliti dan reputasi seseorang Yang Berhormat (YB) melalui hasil mereka.

“Unit media perlu mainkan peranan penting sebagai platform untuk mempromosikan secara langsung aktiviti yang boleh mempengaruhi kesejahteraan rakyat. 

“Mereka tidak hanya tertakluk seperti penyediaan grafik, gambar dan sebagainya untuk tujuan pengisian semata-mata tapi ianya lebih dari itu,” ujarnya.

Beliau menambah, kakitangan media dan pegawai khas (PA) sebenarnya berperanan untuk menjadikan pemimpin itu hebat daripada semasa ke semasa.

"Mereka ini hendaklah sentiasa bersedia untuk membantu Yang Berhormat (YB) agar segala persiapan berjalan lancar supaya YB tiada masalah bila berhadapan dengan rakyat," katanya lagi.


Tag: