• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lama Menanti, Jemaah Teruja Boleh Solat Semula Di Masjid

Oleh : Izzat Al Qushairi

KUALA NERUS, 12 Jun - Rata-rata anak Muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit melahirkan rasa teruja apabila orang ramai dibenar solat di masjid semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.

Salah seorang daripada mereka, Mohamad Shahiran Ismail, 25, berkata walaupun pihak berkuasa menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dia sangat bersyukur kerana masjid dan surau akan kembali diimarahkan umat Islam.

"Alhamdulillah, hari ini kita semua boleh solat di masjid, dan bagi solat Jumaat di Masjid Bukit Cempaka, di sini, pihak masjid menetapkan seramai 231 orang sahaja untuk menunaikan solat.

"Kami anak muda mengucapkan terima kasih tidak terhingga selepas hampir tiga bulan tidak dapat pergi ke masjid, sangat rindu dan sangat terkesan dengan keadaan yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata kebenaran menunaikan solat itu diperluaskan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

"Penggunaan masjid dan surau untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sudah mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini pelaksanaan kedua-dua solat terbabit," katanya.

Beliau berkata, semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri itu dikehendaki menyelia dan memastikan garis panduan berkenaan dipatuhi.

Kebenaran itu tegas beliau diputuskan selepas mempertimbangkan mengenai kelonggaran yang diberi susulan PKPP yang dikuat kuasakan.