• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'Larangan Jual Telur Penyu Tepat Pada Masa'

KEMAMAN, 17 Jun - Langkah kerajaan negeri mengharamkan penjualan telur penyu di Terengganu dianggap tepat pada masanya kerana reptilia itu semakin diancam kepupusan.

Pelajar fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nabilah Abdul Rahim berkata, rata-rata generasi muda pada hari ini tidak tergamak untuk memakan telur penyu kerana bimbang generasi akan datang tidak kenal binatang terbabit.

"Sewajarnya langkah ini disokong oleh semua pihak. Saya rasa pengharaman jualan telur ini tidak akan mendatangkan kerugian sebaliknya kita akan lebih menghargai usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri ini kerana berjaya melindungi haiwan ini daripada mengalami kepupusan.

"Kebanyakkan pelancong yang datang ke negeri ini pun setuju dengan langkah ini kerana mereka datang ke sini untuk melihat penyu ini dan tengok bagaimana ia bertelur," ujarnya yang juga peserta Terengganu Turtle Camp 2022.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program Terengganu Turtle Camp 2022, di Ma'Daerah Santuari Penyu, di sini, pada semalam.

Sementara itu seorang lagi peserta kem berkenaan, Ahmad Arif Aiman Ghazali, 20, berkata kempen yang dijalankan oleh kerajaan negeri sangat wajar dilaksanakan dalam menjaga haiwan ikonik Terengganu itu.

"Ini suatu inisiatif yang baik terhadap membina kesedaran dalam kalangan kami generasi muda ini untuk turut sama berjuang memulihara penyu.

Sementara itu, Pegawai Konservasi Marin Tabung Alam Sedunia (WWF), Nor Azariyah Mohtar, berharap tiada pihak yang menjual telur berkenaan di pasaran gelap.

"Selama ini kita telah berkerja keras dalam memastikan haiwan ini dilindungi dengan sebaiknya-baiknya, kita menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dalam melindungi telur penyu.

"Dengan adanya enakmen mengharamkan penjualan telur penyu ini kita dapat mendidik rakyat agar jangan makan telur penyu dan membelinya secara haram," ujarnya.