• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Lebih 20,000 Peminat Bola Sepak Bakal Penuhi Kompleks Sukan Negeri



Ahmad Razif (tengah) bakal hadir ke Majlis Pelancaran Jersi Serta Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak dan Hoki Terengganu 2017 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.


Lebih 20,000 peminat bola sepak negeri Terengganu dijangka memenuhi perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak,  Kuala Nerus sempena Majlis Pelancaran Jersi Serta Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak dan Hoki Terengganu 2017.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata program yang akan dijalankan selama tiga hari bermula 12 Januari ini membawa kelainan kerana ianya berkonsepkan karnival.

Katanya, sepanjang program tersebut berlangsung, pelbagai acara sampingan akan dijalankan bagi menarik peminat bola sepak negeri untuk berkumpul disamping menunjukkan komitmen kerajaan negeri kepada pasukan bola sepak dan hoki Terengganu.

“Pelbagai aktiviti bakal diadakan sepanjang program ini berlangsung antaranya gerai jualan dan pameran, jualan jersi, pertandingan memancing, persembahan pentas, cabaran stadium tanggathon serta Kuala Nerus Cycling Ride.

“Acara kemuncak bagi program ini adalah pada 14 Januari bermula jam 2.30 petang iaitu Majlis Pelancaran Jersi Serta Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak dan Hoki Terengganu 2017 di hadapan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu,” katanya.


Beliau ditemui pemberita pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Jersi Serta Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak dan Hoki Terengganu 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Rozi Mamat, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato' Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.

Tambah Ahmad Razif, selain daripada program-program tersebut, turut diadakan perlawanan amal antara Juara Piala Malaysia Terengganu 2001 menentang pemain nostalgia Harimau Malaya serta perlawanan persahabatan antarabangsa antara pasukan Terengganu dan Tampine Rovers dari Singapura pada 14 Januari ini jam 8.00 malam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Bermula 6 Januari lalu, tiket-tiket sudah mula dijual dengan harga RM10 di Kobert Store, Chicken Cottage, Blue Valley Jeans, Hazlan Bistro dan Salaza Bistro. Kutipan hasil jualan tiket ini akan disumbangkan ke Tabung Solidariti Rohingya, Yayasan Diraja Sultan Mizan, Tabung Amanah Anak Yatim Negeri Terengganu, Tabung Darul Iman dan Persatuan Bekas Pemain Terengganu.

“Disamping itu, dengan pembelian tiket ini, peminat turut diberikan baucer diskaun sebanyak RM5 di Chicken Cottage,” katanya.

Sehingga hari ini, sebanyak lebih 7,000 tiket untuk perlawanan amal serta persahabatan telahpun dijual.

Tag: