• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Litar Motocross Tambah Koleksi Sukan DUN Buluh Gading

KUALA NERUS, 28 Mac - Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading bakal menjadi tumpuan peminat sukan motocross berikutan wujudnya litar baharu di sini.

Litar yang panjangnya lebih satu kilometer itu merupakan yang kedua terpanjang dalam negeri Terengganu selepas litar di Teluk Mak Nik, Kemaman.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, litar yang baharu siap ini diselenggara sepenuhnya oleh Kampung Baru Motocross Club (KBMCC).

Ustaz Ridzuan Hashim bergambar dengan para pemenang.

“Alhamdulillah, tambah satu lagi koleksi sukan dalam DUN Buluh Gading, sukan motosikal lasak yang sangat digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah KBMCC Fun Race, Kampung Kuala Belara, 26 Mac lepas.

“Saya difahamkan seramai 160 penyertaan diterima kali ini dalam lima kategori, sangat menggalakkan walaupun julung kali diadakan.

Pengunjung memenuhi kawasan litar membuktikan sukan ini diminati ramai.

“Penganjuran program seperti ini juga dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan pemotoran lasak, di samping dapat juga mengelakkan mereka merempit di jalan raya yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," tambah beliau lagi.

Beliau juga berharap agar litar itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai alternatif sukan seperti panjat bukit dan juga kayuh basikal.

Program dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Tetambah dan KBMCC.


Tag: