• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Longkang Baharu Atasi Banjir Kilat Di Kampung Telaga

HULU TERENGGANU, 11 November - Pembinaan longkang baharu berjaya mengatasi masalah banjir kilat sekaligus memberikan kelegaan kepada penduduk Kampung Telaga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata pembinaan longkang baharu ini telah pun berjaya disiapkan dan dijangkakan dapat mengatasi masalah banjir walaupun berlakunya hujan lebat.

"Kita baru siap bina longkang di Kampung Telaga yang mana kosnya lebih kurang RM100 ribu dan ini adalah untuk kemudahan penduduk di sini.

"Saya telah bertanya kepada penduduk kawasan sekitar dan mereka beritahu bahawa walaupun hujan selama tiga atau empat hari secara berterusan, tidak lagi berlaku banjir di kawasan dapur atau rumah mereka," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan longkang tersebut di Kampung Telaga, baru-baru ini.

Menurut Dr Mamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrasturktur, Kemudahan Awam, Utiliti, dan Teknologi Hijau negeri, longkang yang disiapkan ini perlu ditutup dengan baik untuk keselamatan penduduk kampung.

"Kita harapkan akan disiapkan batu baur dan penutup longkang bagi mengelakkan sebarang kecelakaan kepada penduduk disini kerana keadaan penduduk di sini yang agak padat.

"Kita tahu bahawa penduduk disini sekian lama telah menghadapi masalah banjir kilat di kawasan rumah mereka dan saya sangat bersyukur kerana kita semua berjaya menyelesaikan masalah ini," katanya.


Tag: