Lucut Hak Milik Pemilik Haiwan Berkeliaran
KUALA TERENGGANU, 17 April - Satu enakmen baharu perlu digubal bagi melaksanakan tindakan ke atas pemilik ternakan yang membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, mereka wajar dilucut hak atau hilang hak pemilikan terhadap haiwan berkenaan sebagai pengajaran supaya lebih bertanggungjawab.
"Dengan kata lain, pemilik hilang hak ke atas ternakan tersebut atau lucut hak.
"Nampak keras tetapi sesuai memberi pengajaran kepada pemilik dan satu enakmen perlu diubah agar selari dengan hasrat ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.
Tambahnya, isu haiwan berkeliaran di lebuh raya itu sudah lama berlarutan sehingga mengakibatkan kemalangan maut dan kecederaan serius kepada pengguna jalan raya.
"Baru-baru ini ada penduduk kampung yang maut selepas terlanggar lembu di lebuh raya, manakala seorang jiran saya pula terlibat dalam kemalangan dengan sekumpulan lembu hingga mengalami kecederaan kekal dan kereta baru mengalami kerosakan teruk.
"Buat masa ini, pihak LPT2 sudah melakukan penambahbaikan dan sentiasa memantau pagar keselamatan, namun insiden pencerobohan haiwan masih berlaku," katanya.
Sementara itu juga bagi menangani isu monyet liar, Dr Mamad memohon pihak polis mempertimbangkan semula kebenaran kepada anggota Rela untuk menggunakan senapang bagi menembak haiwan tersebut.
"Kasihan kepada petani dan penduduk. Gotong-royong menembak monyet pun hasilnya tidak memuaskan, peluru mahal dan pemilik senjata api pun tidak ramai," ujarnya.