• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Mac Diisytihar Sebagai Beautiful Of Sports



Rozi Mamat sempat bersama dengan kakitangan Wisma Darul Iman untuk menyatakan sokongan penuh kepada  pasukan TSG pada kain rentang dalam LTdL yang akan berlangsung tidak lama lagi. Foto oleh Zulkifli Putra.


Kerajaan negeri mengistiharkan bulan Mac sebagai Bulan Sukan Negeri Terengganu atau ‘Beautiful of Sports’ seiring dengan sahutan melahirkan masyarakat sihat selain sempena Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata sepanjang bulan tersebut pelbagai aktiviti sukan bakal diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak dan penglibatan semua golongan. .

Katanya, untuk tahun ini sahaja, 30 acara sukan telah dirangka manakala lima daripadanya bakal dijalankan pada Mac depan.

“Sepanjang Mac pelbagai acara sukan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa akan berlangsung di pelbagai lokasi di negeri ini.

“Antaranya adalah Kejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar pada 3 dan 4 Mac, Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC (4-11 Mac) dan Kejohanan FIM Asian Motocross (24-25 Mac),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Kain Rentang Solidariti Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.

Dalam pada itu, Rozi berkata untuk Kejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar, persiapan telah dilakukan secara terperinci.

Katanya, kejohanan yang bakal berlangsung Terengganu International Endurance Park, Setiu itu akan dijadikan sebagai platform sebelum bermulanya Sukan SEA 2017 pada Ogos nanti.

“Kejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar ini dijadikan sebagai pemanas badan untuk Sukan Sea nanti.

“Buat masa sekarang, penyertaan masih lagi dibuka dan berkemungkinan akan turut melibatkan peserta dari luar negara antaranya Thailand,” katanya.

Bagi kejohanan tersebut, dua kategori bakal dipertandingkan iaitu 30 serta 40 kilometer (km) serta satu acara tambahan untuk kelayakan Sukan Sea sejauh 80 km.

Tag: