• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mahu Lahirkan 'Pahlawan Subuh'

Oleh: Zul Jamal

DUNGUN, 16 Mac - Bersempena dengan Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, 'Pahlawan Subuh' merupakan antara program yang menggalakkan kanak-kanak ke masjid. 

Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ia adalah pengisian program bagi semarak dakwah yang akan bermula pada bulan Syaaban sehingga 15 Syawal.

"Selain itu kita akan adakan kelas bagi membaiki bacaan dalam solat, juga akan kita adakan program 'Remaja Cinta Masjid'.

"Pada bulan Ramadan pula kita akan adakan program meraikan anak-anak yatim, berbuka puasa bersama asnaf zakat dan warga emas di samping kelas-kelas berkaitan fardu ain. 

"Insya-Allah kesemua program ini kita akan maklumkan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program 'Karnival Penghayatan Ibadat Solat' yang telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Muhd Ramli di Masjid Muhajirin Felda Jerangau, kelmarin.

Katanya, program berkenaan akan diadakan dengan kerjasama pihak jawatankuasa masjid setiap kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pihak Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) serta Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi.

Mengulas lanjut, katanya, program seumpama itu sangat penting dalam memastikan pembangunan rakyat dari sudut rohani.

"Ke arah melahirkan masyarakat yang sejahtera yang mana pihak kami merasa bertanggungjawab bagi memastikan apa yang kerajaan hasratkan melalui slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera (TMBS) dapat direalisasikan.

"Usaha ini bagi memastikan setiap masjid dan surau benar-benar dimeriahkan dengan pelbagai program keagaaman dalam memberi didikan agama kepada seluruh lapisan masyarakat," ujarnya.

 


Tag: