• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Malaysia Sedia Beli Vaksin Dari China, Russia Atau UK

Oleh: Ahmad Luqman

KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Malaysia bersedia membeli vaksin COVID-19 dari mana-mana negara yang berjaya membangunkan rawatan itu terlebih dahulu termasuk dari China, Russia dan United Kingdom.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembelian vaksin akan dilakukan secara pukal dengan proses pembotolannya dibuat di dalam negara sebaik sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menentukan vaksin yang mana akan diguna pakai.

"Setakat ini, kementerian melalui perbincangan dengan pelbagai negara, antara lain terbabit dalam Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI) yang mana membolehkan kementerian berhubung rapat dengan kajian dijalankan pelbagai pihak dalam mendapatkan vaksin yang sedang dibangunkan.

"Ia membolehkan sekiranya ada mana-mana negara yang mencapai tahap fasa tiga iaitu kajian klinikal selesai dan mendapat kelulusan, serta KKM menentukan yang mana vaksin diterima untuk dipakai di Malaysia, kita akan beli secara pukal dengan proses pembotolan dilakukan di dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam berhubung soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) sama ada pihak kementerian ada membuat kerjasama strategik dengan negara di rantau ASEAN untuk mendapatkan vaksin mampu milik di negara ini.

Ahmad Amzad berkata, kementerian melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi membantu negara ketika berdepan cabaran COVID-19.

Katanya, melalui NTIS ia berperanan sebagai satu platform yang membolehkan syarikat permulaan (start-up), Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan usahawan berteknologi tinggi menguji produk dan perkhidmatan mereka dalam persekitaran yang sebenar.

"Selain itu, agensi di bawah kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memasang lapan unit 'COVID-19 screening booths' menggunakan teknologi 'nano-coating' nyah-kuman di beberapa hospital dan pusat kesihatan daerah (PPD).

"Kita juga menyelaras makmal diagnostik saringan dan pengesahan COVID-19 untuk meningkatkan kapasiti makmal yang terbabit dalam pengesanan virus ini. Sebanyak 10 makmal diagnostik bergerak aktif menjalankan ujian saringan COVID-19 sejak 30 Mac lalu," katanya.

Beliau berkata, kerjasama strategik dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu KKM melalui Pasukan Khas Saringan COVID-19 yang terdiri daripada saintis pakar dalam bidang virologi, mikrobiologi, biologi molekul dan penyakit berjangkit turut dilaksanakan untuk menjalankan saringan COVID-19.

"Juga kerjasama dengan rakan strategik dalam pembangunan beberapa penyelesaian digital untuk kerajaan, contohnya Pusat Maklumat COVID-19 Malaysia (MyC19) bagi penjejakan kontak dan analisis sentimen melalui sistem analisis teks berasaskan kecerdasan buatan (AI)," jelasnya.

SUMBER: BERITA HARIAN